Friday 11 May 2012

Unjuran Sudut Pertama

JENIS-JENIS UNJURAN ORTOGRAFIK.
Anda telahpun membina pandangan pelan, pandangan hadapan dan pandangan sisi. Pembelajaran kita seterusnya ialah menyentuh tentang jenis – jenis unjuran ortografik. Unjuran ortografik boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu :

i.Unjuran sudut pertama
ii.Unjuran sudut ketiga

1.3.1    Unjuran sudut pertama.
Unjuran ini merupakan unjuran yang terawal dan tertua digunakan dalam lukisan kejuruteraan. Lukisan dalam sudut unjuran ini dianggap sebagai unjuran piawai tradisi British dan Eropah untuk kegunaan para arkitek dan jurutera. Satah – satah utama yang terdapat dalam sudut ini mempunyai namanya yang tersendiri, sesuai dengan peranannya. Kesemua satah ini bertemu antara satu dengan lain pada sudut tepat. Rajah 1.12 menunjukkan contoh lukisan bergambar bagi sebuah objek padu. Jika objek ini dilihat dari anak panah A, pandangan yang diperolehi ialah pandangan hadapan. Bentuk bahagian objekyang kelihatan dari pandangan ini diunjurkan kebelakang sehingga mengenai satah menegak hadapan sebagaimana yang ditunjukkan oleh anak panah kecil.

Rajah 1.12 Lukisan bergambar bagi sebuah objek padu

Pelan bagi objek ini pula diperolehi apabila objek itu dilihat dari atas seperti yang ditunjukkan oleh anak panah B. Bahagian – bahagian yang kelihatan dari pandangan ini akan diunjurkan menegak ke bawah objek sehingga mencecah satah mengufuk sepertimana yang ditunjukkan oleh anak panah kecil. Pandangan sisi objek ini diambil dari arah C ( sebelah kiri objek ). Bentuk objek yang kelihatan dari pandangan ini akan diunjurkan kesebelah kanan objek sehingga mengenai satah menegak sisi. Untuk menjadikan lukisan ini sebuah lukisan ortografik, kesemua pandangan tadi akan dibentangkan menjadi satu rataan sahaja. Rajah 1.13 menunjukkan kedudukan satah yang telah dibuka dan berada dalam sudut pertama. Maka lukisan ini dinamakan lukisan ortografik sudut pertama. Setiap gambar rajah hendaklah diberi tajuk agar pembaca tidak keliru.

Rajah 1.13 Kedudukan satah dalam sudut pertama


No comments:

Post a Comment